Thursday 30 January 2014

Infiru !

Benarlah,

Rasulullah pernah bersabda; “Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dan seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka”.  

Maka salah seorang sahabat bertanya “Apakah dari kerana kami sedikit pada hari itu?”  

Nabi menjawab, “Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir, dan Allah akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu, dan Allah akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit wahan”.  

Seorang sahabat bertanya, “Apakah wahan itu hai Rasulullah?”  

Nabi kita menjawab, “Cinta pada dunia dan takut pada mati“.

(Hadis Riwayat Abu Daud).



Astaghfirullahalazim.

Saat hati berat untuk meninggalkan rumah...
Saat hati berat untuk meninggalkan keluarga...
Saat hati berat untuk meninggalkan si comel Nuwair...
Saat hati berat untuk meninggalkan kesenangan, keselesaan dan segala jenis kenikmatan...
Saat hati berat untuk menginfakkan harta di jalan Allah...
Saat hati berbolak balik...
Saat dunia lebih ku cintai berbanding akhirat...

Pergilah kamu beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah), sama ada dengan keadaan ringan (dan mudah bergerak) ataupun dengan keadaan berat (disebabkan berbagai-bagai tanggungjawab); dan berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah (untuk membela Islam). Yang demikian amatlah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).

At-Taubah : 41-42
Pergilah wahai diri,
meski jauh perjalanan.

Seorang daie tidak akan beralasan.
Seorang daie pasti tidak mahu membinasakan dirinya sendiri.
Seorang daie pasti tidak mahu mengcampakkan dirinya sendiri ke seburuk-buruk tempat kembali.

Nauzubillah.



Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:
(Al-Baqarah 2:155)

Kata kuncinya : Sabar... Dan Bismillah jalan :)

Bidznillah.


Tinta Hati Rumaisa'



Saturday 25 January 2014

Diffusion of Responsibility

Bismillahirrahmanirrahim

Diffusion of responsibility.

Adalah satu situasi dimana individu akan kurang bertanggungjawab terhadap sesuatu perkara bilamana individu tersebut berada dalam satu komuniti yang besar.

Atau dalam kata lainnya, "Ah, biarlah orang lain buat, orang lain kan ada. Kenapa aku pulak yang kena?!".

Diri dihujani alasan yang pelbagai.

"Ah, biarlah orang lain yang buat, aku ni tak banyak ilmu lagi."
"Ah, biarlah orang lain yang buat, mutabaah amal aku tak cukup lagi."
"Ah, biarlah orang lain yang buat, aku bukan pandai cakap pun."
"Ah, biarlah orang lain yang buat, aku bukan pandai bahasa Arab pun."

Alasan yang takkan pernah habis untuk dikemukakan.

Berilah sebanyak manapun alasan. Hujahlah sebanyak manapun hujahan.
Selagi mampu. Mulut berkata-kata. Di dunia.

Sebelum didatangi hari pengadilan yang meski diri sendiri pun tak mampu berhujah. Tak mampu memberi alasan.
Dan pada hari Kiamat, Kami keluarkan baginya sebuah kitab dalam keadaan terbuka. ‘Bacalah kitabmu, cukuplah dirimu sendiri pada hari ini sebagai penghisab atas dirimu.’”Allah Ta’ala berfirman: “Dan diletakkanlah kitab, lalu engkau akan melihat orang-orang yang bersalah ketakutan terhadap apa yang (tertulis) di dalamnya. Mereka berkata: ‘Celakalah kami, kitab apakah ini yang tidak meninggalkan yang kecil dan tidak (pula) yang besar, melainkan ia mencatat semuanya...
Celaka. Bila semuanya tersingkap. Baik dan buruk. Tanpa diri sendiri mampu menafikan.
Dengan alasan..........dan hujahan.

Bergeraklah, merubah diri.
Merubah diri ke arah yang lebih baik.
Diri yang Allah suka.
Diri yang Rasulullah bisa banggakan.
dan bergeraklah...sebarkan kebaikan.
Mainkan perananmu duhai daie.
Lunaskan amanat kekhalifan yang tersandar di bahumu.

Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasIK.
                                                          Surah Ali 'Imran : 110
Dia (Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang muslim dari dahulu, dan (begitu pula) dalam (Al Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia...
                                                               Surah Al-Hajj : 78

agar diri menjadi saksi,
agar Rasulullah saw menjadi saksi,
agar mereka menjadi saksi.

Mari.
Tonton. Hayati. Dan renungi.
Mesej di sebalik video ini.
Muhasabah.

DIFFUSION OF RESPONSIBILITY

P/S: Maaf. Mungkin ada antara babak dalam video ini yang terbuka auratnya. Namun, bukan itu yang aku ingin cahayatinggikan (baca : highlightkan)

Moga Allah redha.

Duhai yang mengaku dirinya ditarbiyah

Duhai yang mengaku dirinya ditarbiyah,

Apakah erti tarbiyah?
Andai tidak menyentuh hati untuk khusyuk, 
Andai tidak meransang lidah untuk berkata yang baik, 
Andai tidak menggerakkan anggota untuk beramal. 

Apakah erti tarbiyah? 
Jika mulut lantang berbicara,
Tangan hebat mengangkat pena,
Tetapi amalmu?
Entah ke mana.

Apakah erti tarbiyah?
Jika niatmu serong. 
Sekadar berangan kosong. 
Allah bukan lagi ghayahmu.

Apakah erti tarbiyah?
Jika kamu saling mengecam,
Antara satu sama lain? 
sedangkan,
matlamat kita satu.
  
Duhai yang mengaku dirinya ditarbiyah,
Sampai bila mahu tidur dalam jaga? 

Ingatlah sahabatku, 
Syaitanirrojim itu,
Hebat mengatur langkahmu,
Menghias futurmu.
Disangkakan banyak amalanmu,
Dirasakan banyak sumbanganmu,
difikirkan 'aku yang betul'
tapi sebenarnya,
‘tempang’ di medan jihad?

Sedang Allah, 
Paling tahu apa yang engkau kerjakan.

Ayuhlah beristighfar,
Tatkala kita bangga mengatakan,
Kita mengikut jalan tarbiyah, 
Tapi zahirnya tidak mencerminkan
apa pun! 

Asaklah hati untuk lembut mengingatiNya, 
Tahanlah lidah daripada berkata yang tidak bermanfaat, 
Tangkaskan kaki dan tangan untuk maju bergerak.

Kerana,
Kalau diri sendiri tidak mahu, 
Datanglah seribu Murabbi Super Saiya sekalipun,
Engkau takkan mampu berubah, 
Selagi kau tidak mula berubah! 

Astaghfirulahhalazim...
Astaghfirulahhalazim...
Astaghfirulahhalazim...

:'(

Peladang Yang Manis

Najirah Hulwani.

Peladang yang manis.

Untuk 19 tahun yang lepas, aku sangat bersungguh (baca : eager) untuk tahu maksud nama. Habis buku maksud nama pilihan dikhatam, namun maksud nama masih tak dapat dikenalpasti. Pernah kutanya pada emak dan abah, apakah maksud nama Najirah Hulwani, sambil bergurau emak menjawab, "Tukang Kayu".

Kecewa? 
Haruslah. Haha.
Konon nak maksud, setangkai bunga di syurga ke, kelembutanku ke, yang pengasih ke, tup tup Tukang Kayu. Heh -_-

Lalu, aku membesar selama 20 tahun sambil membawa nama yang tak diketahui maksudnya. Sadis. :'(
(Haha. Poyo je)

Seiring dengan perkembangan teknologi, internet mula mengambil tempat, habis segala enjin carian (baca : search engine) aku gunakan untuk mencari tahu maksud nama.
Namun, hasilnya masih sama. 
Tiada. Yilek. None.

Sehinggalah, perancangan Allah, akhirnya seorang ustaz semasa kelas taranum memberitahu maksud namaku.
Nak tahu apa?

Peladang Yang Manis.

Kecewa? Sikit. 
Pada mulanya, aku merasakan.
"Apakah? Peladang? Hisy. Ntah pape je. 
Yang manis tu ok la lagi. Ekeke "

Namun, lama kelamaan, bila difikirkan balik, ya, aku memang seorang peladang pun. Peladang yang cuba menyemai benih amal di dunia, untuk cuba memetik buah pahala yang manis di syurga kelak.

Dan kamu tidak dibalas melainkan (dengan balasan yang sepadan) dengan apa yang kamu telah kerjakan. Kecuali hamba-hamba Allah yang dibersihkan dari sebarang syirik. Mereka itu beroleh limpah kurnia yang termaklum. 
As-Saaffaat :39-41
Hasil, berdasarkan amal yang ikhlas. Kerana Dia semata. Terpulang wahai diri, samaada hendak ke

Syurga...
Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: "Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu"; dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya.

Al-Baqarah : 25

yang indah, dengan sungai yang bermacam, buah yang lazat, pasangan yang bersih suci dan pelbagai kenikmatan yang kekal abadi atau...

neraka.....


Sesungguhnya Kami jadikan pokok zaqqum itu satu ujian bagi orang-orang yang zalim (di dunia dan azab seksa bagi mereka di akhirat). Sebenarnya ia sebatang pohon yang tumbuh di dasar neraka yang marak menjulang; Buahnya seolah-olah kepala Syaitan-syaitan;
Maka sudah tentu mereka akan makan dari buahnya (sekalipun pahit dan busuk), sehingga mereka memenuhi perut darinya. Kemudian, sesungguhnya mereka akan beroleh lagi - selain itu-satu minuman campuran dari air panas yang menggelegak.
Setelah (mereka dibawa minum) maka tempat kembali mereka tetaplah ke dalam neraka yang menjulang-julang.

 As-Saaffaat :63-68

yang panas, menggelegak, diri terbakar bukan sekali,bukan  dua kali,malah  berkali-kali.
Lagi...dan lagi...
Saat buah zaqqum yangm pahit, busuk dan panas menuruni kerongkong.
Raungan demi raungan...
jeritan demi jeritan...
kesakitan yang takkan bisa hati dan akal membayangkan.

Nauzubillahminzalik.

Oleh itu,
Mari.
Doakan aku, kau, kita semua, dan mereka semua.
Moga kita semua ditempatkan di sebaik-baik tempat kembali.
Moga kita semua dapat ketemu lagi di akhirat kelak. Di syurga. Pada satu kehidupan yang infiniti.
Kekal selamanya.

Jaga diri. Jaga hati. Jaga iman. Moga Allah redha.

Tinta Hati Rumaisa'

Friday 24 January 2014

Saat hati dilamar...

Credit
Saat hati dilamar,
Dilamar menjadi generasi pemula (baca : pioneer) untuk satu badan dakwah yang baru hendak menapak di Universiti Tarbiyah Hati Muslim.
Dan yang melamar adalah lelaki.

Saat itu, aku dan seorang sahabat telah selesai menjamu hidangan tengah hari.
Lalu, ditanya untuk dipinjam masa sebentar. Lebih kurang 15 minit.
Kata putus dicapai.
Dan, perbincangan berlangsung di meja makan kafe. Meski bukan di posisi saling berhadap, di hati terselit bimbang takut agama terfitnah. Kerana kami. Yang berpenampilan agama.
Moga tiada yang tersalah tafsir niat kami. Detik hatiku.
Mereka bertiga telah menerangkan sebanyak sedikit mengenai badan dakwah tersebut. Kata mereka, sepatutnya setiap universiti harus menghantar 10 orang wakil Muslimin dan Muslimat, namun, pada program yang lepas, mereka hanya mampu menghantar 5 orang wakil Muslimat berikutan ketiadaan orang.

Eh, tunggu!

Katanya ada lima orang Muslimat, tetapi mengapa mesti yang berada di hadapan kami tika itu adalah Muslimin?
Mengapa tidak dihantar yang Muslimat saja untuk mentajmik Muslimat.

Keriyes.

Maaf. Bukan aku tidak mempercayai mereka. 
Namun hati seakan tidak mampu menerima bilamana dalam satu gerakan dakwah Islamiyah, lelaki dan perempuan harus bekerjasama.
Bekerja bersama.

Tambahan, darah muda.
Darah yang sibuk mencari jodoh.

Sungguh, apa yang mampu aku simpulkan, untuk berbincang mengenai Islam dan dakwah  dalam masa 15 minit pun, hati tak kuat menahan panahan syaitan, tak mampu ku bayangkan andai aku perlu bekerja sebegitu dalam badan dakwah selama 15 tahun. Atau lebih.

Meski saat itu tiada gelaktawa yang kedengaran, aku takut di akhirnya nanti, mungkin setelah 15 tahun berkerjasama, akan ada term 'ukhuwahfillah' antara lelaki dan perempuan. Tak mustahil.
Antara ikhwah dan akhawat. Wujudnya Ukhwahfillah. 
Muntah.

Jadi maaf.
Jawapanku. Tidak.
Mungkin Muslimat lain lebih layak.
Muslimat yang lebih kuat dalam menjaga hati.
Namun, semestinya bukan aku dalam senarai itu.

Jujur, aku tidak kuat.
Aku lebih meyakini jalan jemaah yang sedang aku pilih ini.
Jalan yang insyaallah amat menitikberatkan soal ikhtilat.
Kerna bagiku, ikhtilat amat penting kerana ia melibatkan hati.

Hati.

Raja kepada segala anggota.
Seketul daging yang akan menjadi penilaian Allah di hari akhirku.

Ikhwah akhawat sekalian, 
ingatlah, matlamat tidak sesekali menghalalkan cara.
Bagaimana bisa kita mengaku sedang bekerja menaikkan Islam sedang ikhtilat yang amat dititikberatkan agama hanyut entah ke mana.
Tidak kira, ikhtilat dalam diam atau terang-terangan.
Menundukkan pandangan di hadapan manusia dan di belakang manusia adalah dua perkara yang berbeza.

"Katakanlah (Muhammad) kepada orang-orang beriman, hendaklah mereka menahan/menundukkan pandangan (atau mata) mereka (daripada melihat wanita yang tidak halal) dan hendaklah mereka memelihara/menjaga kemaluan-kemaluan mereka (daripada zina dan liwat), demikianlah lebih suci/baik bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan apa yang dikerjakan mereka."

An-Nur: 30

Tidak cukup pandangan hanya ditunduk saat berselisih, tapi disebaliknya, mata meliar di alam maya. Stalk ini dan itu. Tanpa motif. Hanya sekadar melayan perasaan.

Bila tiada manusia yang mengawasi di sekeliling
Ketahuilah sahabat, di situ, terujinya Ihsan.
Antara kita dan Allah. 
Hanya kita dan Allah.
Dan  "Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan apa yang dikerjakan mereka".
Setiap satu benda, Allah sedang dan akan sentiasa melihat.

Rugi, saat hatimu tidak menempatkan Allah di posisi teratas bilamana kamu hadir usrah, hadir mesyuarat, pergi camping Islami itu dan ini, mengorbankan cutimu, hartamu, namun soal pandangan si dia yang lebih dititikberatkan.
Takut, semua keletihan itu terbalas dengan debu.


(Ingatkanlah) hari mereka melihat malaikat, pada hari itu tiadalah sebarang berita gembira bagi orang-orang yang bersalah (bahkan sebaliknya), dan mereka akan berkata: "Semoga kita jauh - dijauhkan (dari sebarang keadaan yang buruk)".

Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.
Al-Furqan: 22-23

Kita rasa kita dah cukup baik.
Kita rasa amal ibadat kita sudah banyak.
Kita rasa peluh, airmata, darah(belum lagi) yang mengalir di atas jalan ini, akan menjamin kita ke syurga.
Tidak. Selagi semuanya tidak betul-betul kita niatkan keranaNya.
Penat lelah itu tidak dikira.
Masa, harta dan tenaga itu tidak dikira.
Bahkan hanya menjadi debu beterbangan yang menyesakkan penglihatan.
Sayang bukan?

Seperti juga puasa.
Menahan lapar dan dahaga hanyalah satu peratus.
Selebihnya adalah pada nilai ketakwaan. Sembilan puluh Sembilan. Takwa.

Maka ayuh.
Perbaiki niat kita.
Hanya kerana Allah. Kerana Dia semata.
Hidup dan ummah bukan sekadar pada berBaitul Muslim.
Malah, ia bahkan lebih besar dari itu.
Mari.
Jaga hati melalui ikhtilat.
Ummah tidak memerlukan daie yang sentiasa sibuk membincangkan soal hati dan perasaan.

Nasihat buat diri. Terutamanya.

Jaga diri. Jaga hati. Jaga iman. Moga Allah redha. :)

Tinta Hati Rumaisa'



Wednesday 22 January 2014

Post perasmian. Ehem..ehem

Credit
Subhanallah Walhamdulillah.Walailahaillallah. Allahuakbar.
Maha suci Allah. Segala puji bagi Allah. Tiada Tuhan selain Allah. Allah Maha Besar
(sambil recite lagu Raihan. hehe)

Assalamualaikum wbt. :)

Infinite kesyukuran dan puji-pujian buat Dia yang masih memberi nafas.
Alhamdulillah, setelah betungkus-lumus akhirnya siap juga blog ni. Ngee~ (bajet. haha)

Rasa nak menulis. Rasa nak berkongsi. Rasa nak berbuat sesuatu untuk ummah.
Satu dorongan untuk menulis bilamana terdengar Ustaz Badli Shah bercerita kisah bagaimana rakyat Turki kembali bangkit, menjauhi sistem sekular, mendekati fitrah Islami.
Semuanya bermula dengan hasil hampir 100 risalah tulisan Muhammad Nursi. Hasil tulisan.
Tulisan yang mungkin kita rasa hanya karya picisan.
Tulisan yang mungkin kita rasa hanya kerja suka suka masa lapang.
Tulisan yang mungkin kita baca saat bersantai di kedai kopi.
Tapi,siapa tahu, dalam diam, tulisan itulah yang telah berjaya menyemarakkan semangat jihad dalam diri rakyat Turki.
Semangat jihad untuk kembali menegakkan Islam.
Bukan  sekularisme.
Daripada tidak bertudung, wanita mula berminat mengenakan hijab.
Daripada sistem Barat, rakyat mula percaya dan beralih pada sistem Islam.
Sehingga kini, dengan izinNya, sistem ekonomi Turki berada di tempat keenam seantero Eropah meskipun dulu pernah digelar 'bandar sakit' Eropah.
Nah, benarlah kita hanya akan berjaya andai keseluruhan cara hidup kita mengikut sunnatullah. Ketetapan Allah.
Dia yang mencipta kita pasti tahu apa yang terbaik buat kita. :)

Dan, aku amat maklum, disebalik penulisan ini, terselit satu tanggungjawab besar.
Terutama bagi seorang daie yang jelas amanat kekhalifahan dalam menyeru makruf dan mencegah kemungkaran.

 Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa 
yang kamu tidak melakukannya!
Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan
sesuatu yang kamu tidak melakukannya.


Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal.
   
As Saff: 2-3. Al-Baqarah: 44 . 

Buat lisan yang kencang berkata, namun amal kosong. Tenggelam entah ke mana.
Tapi adakah itu membantutkan usaha kita untuk berdakwah melalui penulisan?
Tidak.
Kerana jauh di lubuk hati mengharapkan perubahan manusia. Perubahan Ummah. Dan paling penting perubahan diri sendiri.

Tegakkan Islam dalam dirimu, nescaya Islam akan tertegak di sekelilingmu.
Hassan al Banna.

Mata penulis yang melihat lebih dekat dengan tangan yang menulis.
Maka, penulis punya satu tanggungjawab besar dalam memanifestasikan penulisannya dalam bentuk amal.

Sekian dulu, buat coretan permulaan.
Jaga diri. Jaga iman. Jaga hati. Moga Allah redha.

Salam Ukhuwahfillah,
Tinta Daie Rumaisa'.